Advertisement
janawangIM.blogspot.com Button

Hidup di kampung kalau buang sampah terpaksa buang di dalam hutan sikit, atau tempat yang dikhususkan di belakang rumah atau jauh sikit dari rumah. Ia bertujuan agar sampah-sampah tersebut senang untuk dibakar atau dimakan biawak atau anjing. Aku terpaksa biasakan diri hidup di kampung walhal aku sebenarnya membesar di bandar. Namun begitu jiwaku tetap di kampung. 

Ketika aku memasukkan sampah-sampah ke dalam gerubak, aku merasakan seperti ada orang yang menepuk belakangku. Aku lantas berpusing dan melihat tiada sesiapa pun di belakangku. Aku hanya melihat birasku dari jauh sedang berbual-bual dengan tamunya.

Aku meneruskan kerjaku mengutip sampah. Apabila sudah penuh akan dimasukkan ke dalam gerubak. Aku menyorong gerubak dalam beberapa langkah. Tiba-tiba aku merasakan telingaku seperti ditiup angin. Aku hilang kawalan, sampahku bertaburan semula di bumi.

“Ah… Kakiku sakit” Aku mengeluh kesakitan yang teramat pedih di betisku.

“Ibu…!!!” Aku menjerit memanggil ibuku memohon pertolongan.

Aku mengengsot perlahan-lahan ingin menuju ke rumah tapi aku tak mampu. Air mataku mengalir seperti anak kecil yang kesakitan apabila terjatuh. Aku sudah tidak tertahan lagi sehingga airmataku mengalir. Biras dan ibuku datang menghampiriku sambil mereka beristigfar melihat keadaan aku.

“Astagfirullah, kenapa jadi begini Khai?” Ibuku cuba mendapatkan kepastian.

Aku tak dapat menjawab soalan ibuku, tanganku memicit pada sendi betisku. Tanpa membuang masa di semak tersebut mereka memimpin aku perlahan-lahan menuju ke rumah.

“Ibu… Tolong Khai bu, Khai nak pergi sekolah”. Aku menagih simpati dari ibuku.

Aku tidak terfikir pasal sakitku tapi aku risau tidak dapat ke sekolah. Ibuku mengambil minyak gamat yang diberikan oleh adikku dari Pulau Indah Selangor tiga bulan yang lalu. Dia menyapukan dibetisku sambil membacakan surah Al-fatihah. Aku kesakitan yang teramat sangat.

“Ibu sakit bu…” Aku sekali lagi menagih simpati pada ibuku.

Ibuku meneruskan doa-doanya sambil mengurut kakiku perlahan-lahan. Selesai dia mengurut kakiku, dia merenung tajam ke arah mataku. Keluar dari mulutnya sambil matanya seolah-olah berkaca menahan sebak.

“Ibu besarkan kau nak, dari kau kecil sampai kau besar sehingga kau jadi cikgu, ibu tak pernah suruh kau sorong gerubak, kau hanya pegang pen dan buku, kau… Aku besarkan di bandar walaupun di apartment kecil sahaja, kumasukkan Khai ke asrama semata-mata ingin melihat kau berjaya. Aku dan bapamu hantar kau pergi ke Universiti untuk dapatkan degree tapi ini yang kau dapat?, kau menyorong gerubak?” Kata ibuku dengan sedikit sedih bercampur hampah.

“Lakimu bersenang-lenang masih dibuai mimpi, kau berjual masak nasi mengasih makan anak-anakmu sebab gajimu sudah teruk. Laki jenis apa tu Khai?” Ibuku menambah lagi.

Jatuh air mataku mengalir laju melihat air mata ibuku sambil menahan sebak dan simpati terhadap Aku. Belum sempat aku menjawab ibuku menyambung lagi.

“Khai, ibu mahu kau berfikirlah nak, bukan ibu mahu kau bercerai dengan lakimu nak. Tapi ibu mau kau tahu menilai antara kaca dan permata. Kesabaranmu nak sudah cukup terlalu tinggi sampai ibu naik geram. Selama ini ibu tak pernah minta duit dengan kau tapi kau cukup membantu lakimu. Sampai lakimu vroom sana vroom sini balik subuh. Kadang kau bergaduh dengan dia. Dia tak balik langsung. Laki jenis apa tu?” Bisik ibu sambil mengusap rambutku.

Aku Yang Tersakiti

Suasana kemudian menjadi senyap seketika. Aku tidak dapat menjawab segala-galanya yang keluar dari mulut ibuku. Aku hanya tertunduk diam dan menyeka air jernih yang keluar dari mataku.

“Ibu, maafkan aku. Sesungguhnya Azrai masih suamiku yang sah, syurgaku masih di telapak kaki Azrai.” Aku bermonolog sendirian untuk mencari sedikit kekuatan.

Aku mencari kata-kata yang sesuai untuk ibuku tanpa menyinggung hati ibuku dan tidak pula kelihatan seperti membela Azrai.

“Ibu, bukan aku membela Azrai. Sampai masa Allah akan bagi aku jalan keluar bu, Khai akan terus sabar dan pasti ada hikmah disebalik semua ini bu. Maafkan Khai. Satu sahaja Khai minta bu, janganlah ibu bising depan Azrai. Biarlah kita serahkan segalanya kepada Allah. Khai tahu Khai salah”. Aku cuba memujuk ibuku semula.

Aku bangkit dari tempat dudukku. Satu keajaiban yang tak kusangka apabila bisa berdiri tanpa sokongan. Doa ibu menang mustajab. Ada rasa sakit yang dalam di betisku tapi tidak menghalang aku dari berdiri dan berjalan. Lantas dengan cepat aku memeluk ibuku sambil aku melepaskan tangisanku dalam dakapannya.

Suasana di dapur kembali menjadi sunyi sepi. Tiba-tiba aku terdengar suara dari meja makan cuba memanggil namaku.

“Yang… Yang… Mana airku?” Azrai cuba memanggilku.

Segera aku pergi memanaskan air dan membancuh kopi untuk lelaki itu. Lantas aku angkat di depan Azrai. Jam sudah menunjukkan pukul 8.30 pagi dan Azrai baru bangun.

“Budak-budak mana? Sudah pergi sekolah? Azrai bertanya sambil menggaru belakangnya.

“Sudah bang” Aku menjawab pendek seperti tiada apa yang berlaku tadi.

“Tolong garuk belakangku ni” Azrai berkata lagi.

Sepantas kilat aku menggaruk belakang Azrai tanpa menjawab permintaannya. Ibuku melihat aku dari dapur sambil dia menggigit bibirnya.

“Sini… Sini… Atas sikit… Kuat sikit… Inilah kau kalau di suruh payah betul. Menggaruk pun nda pandai” Azrai mengeluh sambil geram dengan garukan tanganku yang mungkin tidak tepat pada bahagian yang dia merasakan gatal.

“Bang, kenapa abang lambat balik semalam? Dari mana abang masuk rumah? Kunci abang tak bawa?” Aku cuba gagahkan diri untuk bertanya kenapa Azrai kenapa dia lambat pulang semalam.

“Kau ni kan sibuk betul, kenapa kau? Kau tahukan aku mencari duit. Kalau Aku nda mencari duit, nah nda terbeli duit minyak pegi kerja” Azrai menjawab sambil menegaskan perkataannya.

“Kau nikan bang, masamu di rumah berapa minit saja di rumah, lepas tu kau kerja. Aku tengok minta juga abang duit rokok sama ayang semalam” Aku cuba mendapatkan kepastian lagi dari Azrai.

“Jangan-jangan ada perempuan abang” Aku cuba untuk bergurau dengan Azrai sambil menggaru belakangnya.

“Kurang ajar bah kau ni kan! Kuat betul kau ni menuduh aku berperempuan, jangan kau bising situ mengasih dengar-dengar ibumu aku ni jahat” Azrai menghentak meja dan menyimbah kopi yang berada ditangannya. Habis wajahku disirami kopi dan lantai menghitam bersama-sama tahi kopi dek simbahan Azrai.

Sedih aku perangai Azrai menyimbah aku dengan kopi suam-suam kuku. Sedangkan aku cuba untuk bergurau menceriakan suasana dek kejadian pagi tadi.

“Kau naik bas sendiri!!!” Azrai membentak aku agar aku naik bas lagi untuk pergi ke tempat kerja.

Aku ke dapur untuk mengambil kain pengelap sambil membersihkan wajahku cepat-cepat sebelum ibuku nampak apa yang terjadi terhadap diriku. Azrai mengambil kunci kereta Vigo lantas menghidupkan enjin dan membunyikan enjin kereta dengan kuat dan berlalu pergi dari pandangan mata.

Bersambung…

Advertisement
janawangIM.blogspot.com Button

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.