Bab 1: Jam Poket dan Sebuah Soalan
Jejak di Pasir Waktu – Langit petang itu terbakar jingga, seakan menyala perlahan di balik awan yang bergerak malas. Angin menyapu dedaun kering di halaman rumah pusaka yang telah lama berdiri di pinggir pekan kecil itu.
Sebuah rumah dijamah usia yang pernah menjadi istana kecil dalam hidup Adi ketika masih kanak-kanak. Kini, ia sunyi. Senyap. Rumah itu, seperti dirinya, menyimpan terlalu banyak yang tak pernah diucapkan.
Adi duduk bersila di tengah stor yang berhabuk. Serbuk kayu dan sarang labah-labah menggantung di penjuru siling, dan bau hapak kertas lama memenuhi udara. Kotak-kotak usang tersusun berselerak.
Hari ini ibu menyuruhnya membersihkan stor itu kerana katanya, “Dah macam kubur. Arwah tok pun mesti dah tak nak tengok bersepah macam ni.”
Mula-mula Adi malas. Tapi entah kenapa, hari ni dia rasa tertarik.
Seolah-olah ada sesuatu di sini yang menunggu untuk ditemui.
Tangannya menyelak helaian majalah lama, buku latihan tulisan jawi datuknya, gambar lama dalam bingkai retak. Wajah datuk ketika muda sedang tegak berdiri dengan senyum yang sukar dibaca.
Bukan senyum gembira, bukan juga palsu. Lebih kepada senyum orang yang menyembunyikan terlalu banyak.
Adi tak sempat benar-benar kenal datuknya. Ketika dia berumur lapan tahun, datuk sudah nazak. Sekadar ingatan samar tentang seorang lelaki yang suka termenung di serambi sambil menghisap paip kayu, memandang jauh seperti sedang menunggu sesuatu yang tak kunjung tiba.
Tangannya terhenti pada satu kotak kayu kecil. Ukirannya halus, seperti buatan tangan. Dia tiup debu di atasnya dan membuka perlahan. Bunyi engsel lama berkeriut, disusuli bau kayu tua yang menyimpan waktu.
Di dalamnya terdapat sebuah jam poket.
Adi memegangnya dengan penuh hati-hati, seperti menyentuh masa lalu. Cangkangnya berkilau redup, masih utuh. Rantai peraknya tergulung kemas. Di belakang jam itu, terukir satu ayat:
“Untuk masa yang tak pernah benar-benar pergi. – H.”
“H?” bisik Adi.
“Siapa H?”
Dia tekan butang kecil di atas jam. Penutupnya terbuka dan jarumnya terhenti tepat pada angka 6:45. Tidak bergerak, tidak berdenyut. Tapi ketika jarinya menyentuh permukaannya, satu rasa yang sukar digambarkan menjalar naik ke bahunya.
Panas.
Terasa macam pernah dirasa sebelum ini, tapi dia tak pasti bila.
Dan waktu itu segalanya mula berubah.
Matanya kabur seketika. Dia terasa seperti bukan lagi berada di dalam stor. Seolah-olah ruang di sekelilingnya bergelora. Bau kopi panas, suara radio tua berkumandang lagu klasik P. Ramlee, dan bunyi ketikan mesin taip memenuhi telinganya. Satu suasana asing tapi mesra.
Tiba-tiba semuanya lenyap. Dia kembali ke stor. Nafasnya tercungap sedikit. Jantungnya berdegup kuat.
“Adi! Solat Asar dah masuk ke belum?”
Suara ibu menjerit dari dapur memecah sunyi. Adi cepat-cepat tutup jam itu, masukkan semula ke dalam kotak dan menyembunyikannya ke dalam beg galasnya. Hatinya masih berdegup laju, tapi dia cuba bertenang.
Siapakah aku
Malam itu, hujan turun renyai. Di dalam biliknya, Adi duduk bersandar di kerusi, merenung jam poket yang kini terletak atas meja belajarnya. Cahaya lampu meja memantul di permukaan logamnya yang dingin.
Dia teringat waktu kecil, arwah datuk pernah bercerita tentang masa. Tentang bagaimana masa bukan sekadar minit dan jam, tapi sesuatu yang hidup. “Masa boleh simpan rahsia,” kata datuk, “dan kadang-kadang, masa boleh bercerita. Kalau kau tahu cara mendengarnya.”
Waktu itu Adi cuma ketawa kecil. Mana ada masa boleh bercakap.
Tapi malam ni, dia tak pasti.
Jam itu, ukiran “H”, waktu 6:45. Semua terasa terlalu tepat untuk jadi kebetulan.
Adi pandang siling, fikirannya melayang jauh. Dia tahu hidupnya terasa kosong akhir-akhir ni. Tekanan sekolah, hubungan renggang dengan ibu, dan kawan-kawan yang makin menjauh.
Dia tak tahu apa yang dia kejar sebenarnya. Tapi jam itu, entah kenapa, buat dia rasa seperti ada sesuatu yang lebih besar menanti.
Mungkin, mungkin masa benar-benar menyimpan rahsia. Dan mungkin, dia sudah pun menjejak jejak pertama dalam pasir waktu yang selama ini tak disedarinya.
Dia pejam mata.
Dan buat kali pertama dalam beberapa tahun, Adi tidur sambil membawa satu soalan besar dalam hatinya. Siapakah aku, jika aku tak pernah tahu dari mana aku datang?
Jejak di Pasir Waktu – bersambung…
Oooo ada menulis novel ye. Kisah cinta? Misteri? Semoga terus sukses ye
Hehe ya, fiksyen je kak… belum sampai tahap drama 7 petang lagi 😅 Tengah belajar-belajar tulis, mana tahu nanti jadi eBook, boleh buat hadiah eksklusif untuk pengunjung setia AhmadiKatu.com!
Penasaran baca sambungannya abaaaaang 😍. Nak tahu itu jam siapa. Datuknya adi kah? Inisial H yaa. Teringat langsung jenama Hermes 🤭.
Abang suka menulis cerita kah? Kenapa tak buat dlm bentuk ebook? Beberapa bloggers Malaysia saya tahu ada buat ebook yg dijual juga. Bagus2 ceritanya
Haha sabar ya Fanny, jangan sampai mimpi jam tu malam ni 🤭 InsyaAllah sambungannya setiap 2 minggu, janji tak ghost reader 😎 Huruf H tu bukan Hermes yan Fanny, tapi engraving misteri kat jam tu… tunggu rahsianya terbongkar!⌛