Advertisement
janawangIM.blogspot.com Button

Gerubak

Aku bangkit dari tidur seawal jam 4.00 subuh untuk menunaikan solat subuh, berat kakiku melangkah seperti mengheret batu yang terpasung di kaki. Kerana terlalu banyak jawatan yang kupegang aku juga guru, Aku seorang peniaga si penjual nasi goreng, aku suri rumah, malah aku juga si pekebun. 

Bukan aku tamak dalam mencari duit tapi aku terhimpit dan terdesak untuk menyara kehidupan keluargaku. Hasil jualanku akan aku belanjakan untuk belanja sekolah anakku dan selebihnya untuk membeli rokok Premium Azrai dan duit minyak ke tempat kerjaku. Aku paling risau jika jualan nasiku tidak laku sebab pada duit jualan itulah untuk aku bisa bernafas menjalani kehidupan seharian.

Bahkan aku boleh menjadi bingung kalau hasil jualanku itu tidak dapat menampung untuk membeli modal jualanku nanti. Aku terpaksa mencari sayur dan lada untuk ‘sapak’ nasi gorengku. Bahkan, ia dapat menjimatkan kos pembelian barang jualanku.

Apa yang melucukan Aku terpaksa menggunakan baju T-shirt untuk aku lilitkan di wajahku bagi menyembunyikan muka agar tidak dikenali oleh sesiapa sahaja yang lalu depan rumahku bagi menyembunyikan profesionku sebagai seorang profesional memetik sayur hampir setiap hari. Pernah sesekali muridku bertanya kepadaku namun aku buat tak endah.

“Cikgu, setiap pagi saya ternampak macam cikgu petik sayur cengkuk manis di tepi rumah cikgu”. Kata seorang anak muridku kepadaku.

“Oh, ya cikgu tak boleh makan kalau tak da sayur dalam sehari” Aku hanya membalas dengan selamba.

Tapi pagi itu agak malang sedikit nasibku, Aku melakukan rutinku setiap hari Rabu dan Sabtu untuk membuang sampah menggunakan ‘gerubak’. Itu sahaja penemanku bila Aku ingin membuang sampah yang terkumpul di halaman dan dalam rumahku.

Inilah penghidupan seorang guru yang fleksibel. Aku seperti ‘Elastic girl’ semua serba boleh. Aku terpaksa membuang sampah mengikut jadual kerana masa yang aku ada terlalu singkat. Aku terlalu menyayangi masa. sebab masa itu EMAS lebih bernilai daripada emas yang dikenakan oleh kebanyakan wanita untuk dibuat cincin, rantai dan gelang. Bagiku masaku ialah EMAS yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

“Ika pinjam makcik gerubak” Aku bertanya sambil terus mengambil gerubak itu pergi.

Aku terpaksa meminjam kereta sorong itu di sebelah rumah kerana merekalah satu-satunya yang mempunyai gerubak yang boleh aku pinjam.

“Yalah makcik, hati-hati makcik di belakang tu licin. Semalam hujan turun tanpa henti”. Ika sempat menasihati Aku.

Aku menarik gerubak dari tempatnya ianya disimpan. Kebetulan ibuku ada di rumah. Itupun Aku bergaduh dulu dengan Azrai barulah Aku dapat mengajak ibuku tinggal bersama kami. Aku terpaksa memujuk ibuku untuk tinggal bersamaku kerana itu sahaja jalan untuk menemankan anak-anakku di rumah jika aku lambat balik ke rumah.

Aku Yang Tersakiti

Itu pun selepas peristiwa malam itu, Azrai lewat mengambil aku di sekolah. Dia datang ke sekolah dengan wajah pucat dan berkeringat seluruh tubuh. Aku naik ke kereta dan bersikap seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Bang lain kali kalau abang lewat bagitau, Ayang boleh naik mana-mana bas, kasihan budak-budak di rumah.” Kata aku kepada Azrai memecahkan suasana.

“Bolehkah kau jangan bercakap Yang? Aku cari duit bah ni…” Kata Azrai cuba memberi alasan yang tidak munasabah. 

“Ini bukan soal cari duit Bang! Ini soal keselamatan anak-anak, orang yang kita tinggalkan di rumah tu bukan anak kucing. Ayang indak kisah Abang suka atau tidak Ayang nak juga ibu ada di sini”. Jawabku sedikit emosi dan keras kepada Azrai.

“Aku indak suka ibumu ada di sini!. Kau mahu tahu kenapa? Sebab dia tu suka mengasih bergaduh kita, silap-silap bercerai kita kalau dia ada di sini. Aku indak suka ibumu, apa aku buat macam semua aku bersalah”. Azrai menempelak tidak berpuas hati dengan rasa dirinya betul.

Kali ini aku tidak boleh akur jawapan Azrai. Pedas telingaku dua kali Azrai menyebut yang dia seakan tidak menyukai ibuku.

“Bang, kau tutuplah egomu sebentar. Cuba fikir soal keselamatan dan lapar anak-anakmu, itu ibuku. Kalau bukan ibuku indak lahir aku di dunia, kalau bukan ibuku indak aku jadi cikgu, kalau bukan ibuku indak aku dapat buat rumah banglo di tanahmu, kalau bukan ibuku indak aku dapat beli ni vigo…” Aku melepaskan segala yang terpendam kepada Azrai.

Aku tidak mahu mengunkit semua yang telah ibuku lakukan untuk aku, tapi aku mahu Azrai sedar akan pengorbanan ibuku tanpa meminta balasan.

Ibuku sendiri terumbang ambing di rumah adik beradikku yang lain. Sepatutnya akulah yang layak menjaganya setelah dia berpisah dengan ayahku. Sebab akulah anaknya yang sulung. Aku jualah yang dibesarkan sehingga menjadi seorang guru.

“Kalau itu yang kau mahu, aku akan ambil ibumu!” Azrai mengalah namun cuba membuat protes dengan memandu dalam kelajuan 120km/sejam. Dia seolah-olah melepaskan geramnya di atas jalan.

Aku hanya diam membisu malam itu.

“Khai, banyak betul sampah kamu ni…?” Ibuku menegurku ketika aku sedang menolak gerubak tiba di belakang rumah.

“Ya mak, lupa aku buang kelmarin sebab membungkus nasi” Aku sekadar memberi alasan cuba menutup kesedihan di hadapan ibuku.

“Kau buanglah sampah, sampai hati betul lakimu ni sama kau” Ibuku menambah lagi dengan sedikit nada kecewa dari suaranya.

aku segera membalas dengan nada perlahan kepada ibuku. Aku tidak mahu Azrai terjaga mendengar keluhan ibuku kerana Azrai masih lena tidur disebabkan lewat balik semalam jam 4 subuh ketika itu aku dan anak sedang tidur. Azrai terpaksa masuk dari tingkap, kerana terlupa membawa kunci rumah. Begitulah rutinnya. Dia akan masuk ke rumah melalui tingkap, memandangkan tingkap rumah tidak mempunyai pagar besi, mudah untuk dia keluar masuk.

“Biarlah bah mak, aku dah biasa buang sampah, kalau dia di rumah pun dia ndada masa mak. Aku dah biasa buat sendiri semua kerja ni”. Aku sekadar mencari alasan untuk elakkan ibuku dari terus simpati padaku.

Bersambung…

Advertisement
janawangIM.blogspot.com Button

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.