Maha Suci Allah Yang Tidak Tidur Dan Tidak Pernah Lupa
“Cikgu, sekarang masa cikgu” Ah… Aku mengelamun lagi. Belum sempat aku menghabiskan laporan RPHku untuk esok, muridku menyapaku untuk masuk kelas. Aku menjadi bingung kerana ingatanku semakin teruk sejak akhir-akhir ini. Aku menjadi begitu pelupa. Sedangkan aku acap kali menjeling ke arah jadual waktuku namun masih lupa akan masaku untuk masuk ke kelas 2 Melati.
Tanpa membuang masa aku bingkas dari tempat dudukku lalu menggapai kotak pensil. Aku tak seperti guru lain yang memiliki kotak pensil yang berjenama seperti bekas ‘Tuperware’, beg ‘Bonia’ mahu pun ‘Avon’. Tapi aku menggunakan kotak pensil bekas botol Radya Coco yang aku beli pada awal tahun. Haha… Aku dapat daripada belas ihsan daripada seorang sahabatku Anis.
Aku terpaksa membeli makanan tambahan untuk turunkan berat badanku hanya kerana ingin menambat hati Azrai semula walaupun pada hakikatnya gaji bulananku berada diambang parah namun kupaksa jua untuk mencapai keinginanku. Dek melihat telefon Azrai pada awal tahun itu, aku melihat sosok wanita seksi tersimpan kemas di galerinya, aku menjadi cemburu dan berusaha untuk tampil menawan di mata Azrai.
“Cikgu… Cikgu di sini kelas cikgu Khairina” Seorang murid cuba menyapaku.
“Ah… Aku mengelamun lagi” Aku tersenyum dan buat-buat seperti selamba dan tahu di situ kelasku. Aku melangkahkan kakiku masuk di kelas 2 Melati. Ketua kelas berdiri memberikan salam hormat kepadaku. Diikuti murid-murid yang lain. Aku meneliti laporan RPHku untuk memastikan semula rancangan mengajarku sentiasa dalam ‘guide line’ PDPCku hari ini.
“Erm… Hari ni kita masih belajar sintaksis kelas, dalam topik Pola Ayat, kita bukan sahaja belajar formula atau rumus dalam Matematik, tapi dalam bahasa Melayu pun kamu kena belajar formula. Iaitu FN+FN, FN+FK, FN+FA dan FN+FSN”. Aku memulakan kelasku sambil melihat riaksi muridku yang tercengang mendengar penjelasan tentang topikku hari ini.
“Hah… Kalau kamu dapat hafal rumus ni dan menjawab dengan contoh yang betul, kita makan aiskrim 10 minit masa akhir, cikgu tahu kamu hauskan?” Aku cuba mengalihkan suasana dan menggembirakan muridku yang menanti aktiviti menarik dan luar biasa dari cikgu kesayangan mereka.
“Huhu, aku perasan dan minta puji lagi” Aku sekadar bermonolog sendirian.
Aku banyak berahsia dan hampir 100% muridku tidak mengetahui gelora yang kualami disebalik senyum dan gelak tawaku di sekolah. Sebab inilah prinsipku yang Azrai belum kenal sepenuhnya.
Sejam masa berlalu di kelas 2 Melati aku melangkah di kelas 2 Dahlia. Kelas yang paling belakang dan kelas yang istimewa bagiku. Muridnya bermasalah dalam pembelajaran namun kelas ini memberi gambaran kepada diriku tentang kehidupanku sebagai seorang pelajar 15 tahun yang lalu. Aku masih ingat lagi bahawa aku bukan pelajar yang bijak. Aku bukan pelajar yang cerdik malah aku pelajar yang lemah. Aku pelajar yang tiada apa-apa. Tapi aku banyak belajar dari kelas itu. Aku belajar tentang erti hidup, betullah kata orang ‘kegagalan tangga kejayaan’. Aku menjadi seorang guru hari ini disebabkan kegagalanku yang lalu.
Dalam aku menelaah bahan pdpcku, tiba-tiba anak muridku datang menghampiriku dengan wajah sedih dan kecewa.
“Hah… Kenapa Izani” Aku bersuara dengan nada lembut dan sedikit tegas.
“Cikgu bolehkah saya ke tandas?”. Izani memohon kebenaran kepadaku.
“Boleh… Tapi jangan lambat tau, kita belum mula lagi belajar.” Aku segera membenarkan muridku pergi ke tandas.
“OK bah cikgu…” Izani dengan yakin dan tidak akan menghampakan permintaan guru kesayanganya. Izani meninggalkan aku dan berlalu hilang dari pandanganku.
Bunyi loceng melalak dengan gembira menunjukkan murid akan keluar rehat. Aku bingkas dari tempat dudukku dengan segera ketua kelas memberi ucapan ‘terima kasih cikgu’. Aku membalas dengan senyuman dan berlalu keluar.
Ketika aku berjalan menuju ke bilik guru, aku mencuri pandang ke arah pondok PUM(Pusat Usahawan Muda). Di situlah aku meletakkan jualanku nasi goreng. Sambil mengira-ngira hasil jualanku hari ini, jika laku semuanya akan aku belikan kos jualan untuk esok dan belanja sekolah anak-anakku. Sampai di bilik guru aku terus ke mejaku.
Aku sempat menjeling jam dinding. Jam dinding menunjukkan jam 2.55 petang. Aku lantas menuju ke tandas untuk mengambil air wudhuk untuk menunaikan solat Asar. Selesai menunaikan solat, aku segera ke mejaku sambil melihat jadual waktuku yang seterusnya. Aku melihat jadualku di kelas 1 Bakawali sambil mengenakan kasut gombakku dan meneruskan langkahku.
Dalam perjalanan ke kelas seperti biasa aku membimbit buku RPH dan bahan PDPC. Dengan langkah yang laju aku terus masuk ke kelas 1 Anggerik kemudian lantas mengambil buku rekod kehadiran guru untuk ditandatangani. Murid-muridku mengucapkan salam dan doa penerang hati. Sambil aku melihat wajah-wajah muridku ada yang bertemu kening seperti kehairanan.
“Cikgu, sekarang masa Matematik, masa cikgu Raidah, cikgu indak salah kelas kah?” Tiba-tiba salah seorang murid cuba menyapaku.
Bersambung…