Persetankan Saja – Aku Tahu Kau Kuat

1
156
Persetankan Saja – Aku Tahu Kau Kuat

Teringat waktu kau ditimpa kegagalan yang besar dalam hidup kau, aku tahu kau sudah bersedia untuk berhadapan dengan semua kritikan dan apa saja yang orang akan kata. Aku mengerti segalanya dan nasihat aku seperti yang pernah berikan kepada kau ialah persetankan saja semuanya.

Terima saja takdir-Nya dan aku berharap kau akan sentiasa kuat dengan semua apa yang telah berlaku dalam hidup kau.

Aku tahu dan merasakan hal yang kau rasa. Apa saja yang orang tidak kata?

Yalah sebelum ni kau seorang yang banyak berjaya dalam pelajaran mahu pun dalam bidang kerjaya yang sangat kau minati. Aku saja pun kau tarik muncung sedepa bila bergurau tentang kerjaya kau. Lebam bekas sengatan saja tidak hilang berminggu jika cuba bergurau tentang kerjaya kau.

Tapi itulah, orang sekeliling kau tidak melihat semua kejayaan yang pernah kau lakar dulu. Mereka lebih melihat kepada kegagalan yang kau hadapi sejak beberapa tahun lepas. Bijak pandai kata sekali jatuh, itulah masa yang sesuai untuk orang mengata, kan?

Apa saja orang tidak kata. Aku saja tidak sanggup mendengarkan semuanya seperti yang pernah kau ceritakan. Belum lagi cerita dari kenalan teman aku sendiri? Seperti tidak sanggup untuk aku sampaikan kepada kau.

Mungkin saja aku boleh buatkan sebuah buku untuk huraikan semua label yang pernah dilemparkan kepada kau sejak itu. Atau sebuah cerita pendek untuk menjelaskan segala tomahan yang kau terima.

Persetankan Saja Semuanya

Aku tahu kau tertekan dengan semuanya. Kau stress dengan semua yang sibuk mengata.

Lebih-lebih lagi selepas pemergian orang yang sangat penting dalam hidup kau sejak kau lahir. Seorang ibu tempat kau bergantung selama ini.

Persetankan Saja – Aku Tahu Kau Kuat
Persetankan Saja – Aku Tahu Kau Kuat

Namun aku berharap kau berjaya pekakkan telinga dan teruskan hidup seperti mana yang pernah kau impikan sejak dulu. Semoga kau boleh kuat seperti yang aku harapkan.

Jangan pernah kau biarkan hidup ditentukan oleh kutukan orang. Malah aku juga berharap yang kau jangan sedikit pun terpengaruh dengan kata orang.

Aku percaya yang kau sendiri tahu siapa diri kau yang sebenarnya dan apa kemampuan kau. Orang lain hanya tahu apa yang mereka nampak, dan mereka akan buat macam-macam kesimpulan.

Aku sedar aku tidak sekuat kau.

Kalau aku berada di tempat kau dan dengar semua kutukan jahat tu mungkin saja buku lima yang membalas segala kutukan orang. Kerana aku tahu kutukan orang yang kau terima bukan sekadar sembunyi-sembunyi, bahkan depan orang lain.

Tutup Mulut Dan Pekakkan Telinga

Nasihat aku, :

“Kau kena yakin kepada diri kau sendiri, dan tahu apa yang orang cakap itu semuanya tidak betul. Lama-lama nanti penatlah orang nak mengata lagi.”

Kalau kau tanya aku, aku mudah saja.

Aku anggukkan saja kepala untuk bagi semua orang yang mengata itu perasan bagus dan tidak mengata lama. Biar mereka rasa konon mereka semuanya bagus dan betul.

Aku akan pendamkan dalam hati sejuta peratus untuk menolak semua yang mereka kata.

Mulut aku tutup rapat.

Telinga pula, aku pekakkan saja.

Moga saja mereka penat mengata lalu berhenti.

Itulah aku kalau kau tanya jika aku berada di tempat kau. Paling penting kau jangan hadam segala apa orang nak sumbat dalam kepala kau. Kalau kau mula ragu-ragu dengan diri kau sendiri, saat itulah kata-kata orang itu akan menjadi racun.

Persetankan Saja – Aku Tahu Kau Kuat
Persetankan Saja – Aku Tahu Kau Kuat

Selepas beberapa tahun ini juga, aku tahu kau belajar yang kau tak akan dapat memuaskan hati semua manusia. Kau buatlah macam mana pun, akan ada saja ruang untuk orang kutuk kau.

Yakin Di Setiap Langkah Perjalanan

Kau kena sedar, semua orang punya mulut. Dia boleh kata apa saja.

Tiada manusia yang lebih tahu tentang diri kau melainkan kau saja. Kau binalah kekuatan diri dan kelebihan yang ada, kemudian bergeraklah. Ingat lagikah segala nasihat aku selama ini?

Nasihat aku bukan sekadar kata-kata penyedap rasa buat kau? Tapi semuanya untuk kau mampu berdiri dan tersenyum semula seperti yang aku harapkan seperti dulu.

Usahalah sedaya mungkin untuk kau kejar matlamat hidup.

Aku tahu kau punya dunia kau sendiri bersama berpuluh anak-anak kau. Kau kelihatan gembira dengan dunia yang kau ciptakan sendiri. Tersenyum seperti tidak ada apa yang pernah berlaku.

Anak-anak yang pernah kau ungkapkan untuk membuat aku berasa cemburu walaupun aku faham erti ungkapan itu sebenarnya. Sengaja aku seakan tidak faham.

Persetankan saja segala label yang orang nak tampal pada dahi kau. Kau koyakkan label itu dan jalan terus.

Biar sehingga orang bosan nak kutuk kau lebih-lebih.

Akhirnya, apabila hati kau gembira dan bahagia, cakap-cakap orang itu kau akan anggap macam bunyi cengkerik pada waktu malam saja.

Sudah. Jangan sedih-sedih. Aku tahu kau sememangnya hebat!.

Aku nak lihat kau tersenyum lagi seperti dulu.

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.